Rabu, 17 September 2008

Antara ‘Baru’ dengan ‘Baharu’

'Baru' ialah kata bantu manakala 'baharu' ialah kata adjektif. 'Baru' kalau diterjemahkan ke bahasa Inggeris membawa maksud just, manakala 'baharu' pula membawa maksud new . Dalam erti kata lain, 'baru' berkaitan dengan tempoh masa yang belum lama berlalu seperti dalam contoh berikut:

i. Dia baru sahaja bertolak.
ii. Beliau baru tiba dari Kuala Lumpur.
iii. Perjumpaan itu baru sahaja tamat.

Manakala 'baharu' (new ) pula merupakan kata adjektif yang menerangkan keadaan sesuatu yang berlawanan sifatnya dengan 'lama' atau 'buruk' seperti yang terdapat dalam contoh berikut: kereta baharu, baju baharu, majalah baharu, pelajar baharu, guru baharu, kaedah baharu, teknologi baharu dan sebagainya.

Dari segi morfologi, kata 'baru' tidak boleh menerima imbuhan tetapi boleh menerima bentuk gandaan, iaitu 'baru-baru' seperti dalam ayat:
Baru-baru ini beliau mengalami kemalangan.

Manakala kata 'baharu' boleh menerima awalan teR- menjadi 'terbaharu', awalan mempeR- menjadi 'memperbaharu' dan apitan meN-...-i menjadi 'membaharui'.Dari segi semantik, baharu juga boleh bermaksud moden. Kadang-kadang 'baharu' juga dipendekkan menjadi 'baru' dalam pengunaan harian. Bagaimanapun, ini tidak digalakkan.