Ahad, 27 Januari 2008

Kata Pemeri

KATA PEMERI

Kata pemeri ialah kata yang berfungsi sebagai penghubung antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam ayat. Kata pemeri berfungsi sebagai penegas predikat dalam sesuatu ayat. Kata pemerinya yang biasa digunakan 'adalah' dan 'ialah'.

1. Ialah - menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama.
Contoh:
Ayah Ahmad ialah guru.

2. Adalah - menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.
Contoh:
Perhimpunan ini adalah untuk murid Tahun 6 sahaja.

Beberapa kesalahan yang sering dilakukan:-

i. Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah.
Contoh:
Pemenang anugerah pelakon lelaki terbaik adalah...

ii. Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah.
Contoh:
Surat ini ialah untuk kamu.

iii. Penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.
Contoh:
Usaha dilakukan adalah mencari di kawasan penempatan warga asing.

iv. Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:
Adalah dimaklumkan bahawa...

Sabtu, 19 Januari 2008

Kata Perintah

KATA PERINTAH

Kata perintah ialah kata yang digunakan untuk memberikan sesuatu perintah seperti larangan, silaan, permintaan, dan sebagainya.


1. Harap - Untuk menyatakan maksud keinginan untuk mendapatkan sesuatu atau meminta dilakukan sesuatu.

2. Jangan - Untuk menyatakan maksud larangan atau tidak boleh melakukan sesuatu atau melarang seseorang daripada melakukan sesuatu.

3. Jemput - Untuk menyatakan maksud mengajak atau mengundang.

4. Minta - Untuk menyatakan maksud ingin akan sesuatu.

5. Sila - Untuk meminta seseorang melakukan sesuatu dengan cara hormat/beradab.

6. Tolong - Untuk menyatakan maksud meminta pertolongan atau bantuan atau minta melakukan sesuatu untuknya.

7. Usah - Untuk menyatakan maksud larangan/tegahan daripada melakukan sesuatu.

Kata Penguat

KATA PENGUAT

Kata penguat ialah kata yang digunakan untuk menguatkan maksud kata adjektif. Kata penguat boleh diletakkan di hadapan atau di belakang kata adjektif dalam ayat.

Kata penguat terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:-

1. Kata penguat hadapan
2. Kata penguat belakang
3. Kata penguat bebas


1. Kata penguat hadapan
Digunakan di hadapan kata adjektif dalam ayat.
Contoh: agak, paling dan terlalu

2. Kata penguat belakang
Digunakan di belakang kata adjektif dalam ayat.
Contoh: betul, benar, nian dan sekali

3. Kata penguat bebas
Boleh diletakkan di hadapan atau di belakang kata adjektif dalam ayat.
Contoh: sungguh, amat dan sangat

Ahad, 13 Januari 2008

Kata Seru

Kata Seru

Kata seru ialah kata yang digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang seperti marah, pilu, gembira, sakit, hairan, kagum, terkejut dan sebagainya. Kat seru digunakan untuk membentuk ayat seru.

1. Aduh - Digunakan untuk
a) Menyatakan perasaan sakit
b) Menyatakan perasaan kagum/hairan

2. Aduhai - Digunakan untuk menyatakan perasaan sedih/dukacita.

3. Ah - Digunakan untuk menyatakan perasaan tidak bersetuju/membantah.

4. Amboi - Digunakan untuk menyatakan perasaan kagum/hairan.

5. Cis/cih - Digunakan untuk:
a) Menyatakan perasaan marah
b) Menyatakan perasaan mengejek/menyindir

6. Eh - Digunakan untuk menyatakan perasaan hairan/terkejut

7. Hai - Digunakan untuk
a) Menyatakan perasaan hendak menegur atau menyapa seseorang
b) Cuba menarik perhatian

8. Nah - Digunakan untuk menarik perhatian dan pelbagai maksud lain

9. Wah - Digunakan untuk menyatakan perasaan kagum/takjub

10. Wahai - Digunakan untuk
a) Menyatakan perasaan dukacita
b) Mendapatkan perhatian

Kata Adjektif

KATA ADJEKTIF

Kata adjektif ialah kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama. Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat. Kata adjektif dapat dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu:

1. Sifat/keadaan -
Menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama/frasa nama.

2. Warna - Menunjukkan warna sebagai unsur keterangan sesuatu kata nama/frasa nama.

3. Ukuran - Menunjukkan ukuran sebagai unsur keterangan kata nama/frasa nama.

4. Bentuk - Menerangkan rupa bentuk sesuatu kata nama/frasa nama.

5. Waktu - Menunjukkan maksud masa sebagai unsur keterangan.

6. Jarak - Menunjukkan maksud jarak atau penerang kepada kata nama/frasa nama.

7. Cara - Menunjukkan keadaan atau ragam sebagai unsur penerang kata nama/frasa nama.

8. Perasaan - Menunjukkan maksud perasaan sebagai unsur keterangan kata nama/frasa nama.

9. Pancaindera - Menunjukkan maksud sifat, keadaan atau rasa yang dapat dikesan oleh pancaindera

Ahad, 6 Januari 2008

Kata Sendi

KATA SENDI NAMA

Kata sendi nama ialah kata yang berfungsi sebagai sendi kepada frasa nama dengan perkataan-perkataan lain. Contoh kata sendi adalah:

di, pada, ke, kepada, dengan, dari, daripada, bagi/untuk, tentang/terhadap, akan, , hingga/sampai, sebagai, sejak, selain, sepanjang, seperti/umpama dan oleh.

Kata sendi dan fungsinya
  1. di - tempat sahaja
  2. pada - masa, benda abstrak, orang, binatang, benda konkrit tertentu
  3. ke - tempat, masa, arah, benda konkrit tak bernyawa
  4. daripada - orang, benda abstrak, menunjukkan asal kejadian, menunjukkan perbandingan, menunjukkan bahagian sesuatu, menunjukkan pertentangan
  5. dari - tempat, masa, arah
  6. kepada - orang, benda abstrak, binatang, kata ganti nama diri
  7. dengan - menunjukkan keterangan cara, menunjukkan sesuatu sebagai alat, menunjukkan perbandingan setara, menunjukkan penyertaan bersama
  8. hingga/sampai - menyatakan maksud had/jangka masa tertentu
  9. sebagai - menerangkan maksud umpama, menerangkan maksud menjadi, menerangkan maksud sempena/ bertujuan
  10. sejak - menyatakan maksud permulaan
  11. selama - menyatakan jangka masa
  12. selain - menyatakan makna hanya/di samping
  13. sepanjang - menyatakan maksud jarak masa, menyatakan jarak sesuatu tempat, menyatakan maksud ‘berdasarkan’
  14. seperti/umpama - menunjukkan maksud persamaan
  15. tentang/terhadap - menyatakan maksud rujukan/panduan
  16. oleh - kata kerja pasif yang berawalan di- dan teR-
  17. bagi/untuk - membezakan sesuatu

Selasa, 1 Januari 2008

Kata Kerja

KATA KERJA

Kata kerja dapat didefinisikan sebagai perbuatan/perlakuan/keadaan melakukan sesuatu. Secara umumnya, kata kerja dapat dibahagikan kepada dua iaitu:
a) Kata kerja tak transitif
b) Kata kerja transitif



Kata Kerja Tak Transitif

Dalam pembentukan ayat, kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek sebagai penyambut kerana kata kerja tak transitif telah lengkap maksudnya

Contoh penggunaan dalam ayat.
1. Abang sedang tidur.
2. Adik saya sedang menangis.
3. Lili tersenyum sejak dari tadi.



Kata Kerja Transitif

Dalam pembentukan ayat, kata kerja transitif memerlukan objek (frasa nama) sebagai pelengkap.

1. Kata kerja transitif terbahagi kepada dua, iaitu kata kerja transitif aktif dan kata kerja
transitif pasif.
2. Kata kerja transitif aktif terdiri daripada kata kerja yang berawalan meN-, meN-…-i, mempeR-…-i, mempeR-, berapitan meN-…-kan, dan berapitan mempeR-…-an.
3. Kata kerja transitif pasif terdiri daripada kata kerja transitif pasif berimbuhan beR-, di-, dan teR- dan kata kerja pasif tanpa awalan.