Isnin, 27 Oktober 2008

Kata Penguat

Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Imbuhan “ter-” apabila bergabung dengan kata adjektif seperti cantik (tercantik), baik (terbaik), tinggi (tertinggi) membawa maksud “paling” berfungsi sebagai kata penguat. Oleh itu bentuk-bentuk tersebut tidak boleh digandingkan dengan kata penguat seperti “paling”, “sangat” dan “sekali” kerana berlaku unsur kelewahan. Kata “paling”, “sangat” dan “sekali” tergolong sebagai kata penguat.

Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu :
a. kata penguat hadapan yang mendahului frasa atau kata adjektif. Contoh: terlalu, paling, agak, cukup, makin, kurang;
b. kata penguat belakang yang mengikuti kata adjektif. Contoh: sekali, benar, nian, betul;
c. kata penguat bebas yang boleh mendahului atau mengikuti kata adjektif. Contoh: amat, sangat dan sungguh.

Hanya satu kata penguat boleh digunakan di hadapan atau di belakang sesuatu kata adjektif. Contoh penggunaan kata penguat dalam ayat adalah seperti yang berikut:
i. Dalam kalangan adik-beradiknya, dia yang paling rajin (bukan paling rajin sekali).
ii. Harga kereta itu mahal sangat atau harga kereta itu sangat mahal (bukan sangat mahal sekali/ terlalu mahal sangat).
iii. Cantik sekali kasut yang dibelinya itu (bukan terlalu cantik sekali baju yang dibelinya itu).
iv. Saya mendapat markah tertinggi dalam kelas (bukan tertinggi sekali/ paling tertinggi).

Jumaat, 17 Oktober 2008

Antara 'agung' dan 'agong'

Mengikut hukum keselarasan vokal dalam bahasa Melayu, vokal `a’ akan berpasangan dengan vokal `u’ (a-u). Oleh itu, kata ini sepatutnya dieja `agung’, contohnya mesyuarat agung, seniman agung, pemimpin agung dan perhimpunan agung, tetapi ada kekecualian hanya untuk Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan vokal `o’ untuk kata agong.

Sabtu, 20 September 2008

Antara “Catat” dengan “Catit”

Ejaan “catit” dan “catat” dianggap sebagai varian, iaitu bentuk atau ejaan yang berlainan bagi perkataan yang sama dalam bahasa Melayu. Ini bermakna kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud yang sama, iaitu menulis atau merakamkan sesuatu untuk peringatan dan perhatian pada masa lain.

Walaupun kedua-dua ejaan tersebut terakam dalam Kamus Dewan edisi keempat, namun ejaan yang betul dan baku ialah “catat”. Ini bermakna hanya ejaan “catat” sahaja yang dianggap standard dan wajar digunakan dalam penulisan mahupun pertuturan.

Khamis, 18 September 2008

Perbezaan antara `boleh’ dengan `dapat’

Kata ‘boleh’ dan ‘dapat’ kedua-duanya tergolong sebagai kata bantu yang hadir sebelum frasa, yang bertugas membantu frasa kerja dan frasa sendi nama. Kata ‘boleh’ membawa unsur keizinan atau kebenaran dan tidak menyalahi peraturan. Manakala kata dapat membawa unsur upaya. Contoh penggunaan bagi kedua-dua kata tersebut adalah seperti yang berikut:

a. Kamu boleh menyertai rombongan itu kalau diizinkan ayah.
b. Permit yang diberi boleh ditarik balik.
c. Zainal begitu gembira dapat melakonkan watak Hang Tuah.
d. Saadiah masih belum dapat melelapkan matanya.

Kata ‘dapat’ sering disalahgunakan dengan ‘boleh’.
Contoh:
Puisi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis (salah).
Puisi dapat dibahagikan kepada beberapa jenis (betul).

Kadang-kadang kata ‘boleh’ itu sebenarnya bermaksud ‘mungkin’.
Contoh:
Perkara ini boleh berlaku apabila kita hilang tumpuan (salah).
Perkara ini mungkin berlaku apabila kita hilang tumpuan (betul).

Rabu, 17 September 2008

Antara 'dalam' dengan 'di dalam'

Kata sendi nama ‘di’ digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Misalnya, ‘di rumah’, ‘di kantin’ dan ‘di dapur’.

Kata sendi nama ‘di’ tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman.

Kata sendi nama ‘dalam’ dan ‘antara’ pula hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
Contohnya: “Dalam hal ini, (bukan: Di dalam hal ini,); dalam ucapan (bukan di dalam ucapan); perjanjian antara kedua-dua pihak (bukan di antara kedua-dua pihak); persamaan antara bidang sains dengan bidang sastera (bukan persamaan di antara bidang sains dengan bidang sastera).

Contoh penggunaan frasa sendi nama ‘di dalam’ yang betul adalah seperti contoh yang berikut: “Dilarang merokok di dalam premis kerajaan”; “Pertandingan itu diadakan di dalam dewan.”

Contoh penggunaan frasa sendi nama 'di antara' pula, ialah: “Jarak di antara rumahnya dengan spejabat pos kira-kira 500 meter”.

Perbezaan antara Datuk dengan Dato’

Dato' ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja. Manakala Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua, seperti Melaka, Sarawak, dan Sabah.

Antara Bahaya, Merbahaya, Marabahaya dan Berbahaya

Kata nama ‘bahaya’ boleh menerima imbuhan ber- menjadi ‘berbahaya’. Namun begitu, tidak ada imbuhan ‘mer-‘ dalam bahasa Melayu. Oleh itu, ‘merbahaya’ adalah salah, walaupun sering digunakan orang. Kata ‘bahaya’ boleh menerima apitan meN-...-kan menjadi ‘membahayakan’ seperti dalam ungkapan ‘Rokok Membahayakan Kesihatan’.

Perkataan ‘marabahaya’ ialah gabungan kata Melayu lama ‘mara’ (yang bermaksud bahaya, bencana atau kesusahan) dengan kata bahaya yang membawa maksud ‘bermacam-macam bahaya atau bencana’. Dengan demikian, ‘marabahaya’ tidak salah digunakan, tetapi bentuk ini tidak begitu kerap digunakan.