Isnin, 27 Oktober 2008

Kata Penguat

Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif. Imbuhan “ter-” apabila bergabung dengan kata adjektif seperti cantik (tercantik), baik (terbaik), tinggi (tertinggi) membawa maksud “paling” berfungsi sebagai kata penguat. Oleh itu bentuk-bentuk tersebut tidak boleh digandingkan dengan kata penguat seperti “paling”, “sangat” dan “sekali” kerana berlaku unsur kelewahan. Kata “paling”, “sangat” dan “sekali” tergolong sebagai kata penguat.

Terdapat tiga jenis kata penguat, iaitu :
a. kata penguat hadapan yang mendahului frasa atau kata adjektif. Contoh: terlalu, paling, agak, cukup, makin, kurang;
b. kata penguat belakang yang mengikuti kata adjektif. Contoh: sekali, benar, nian, betul;
c. kata penguat bebas yang boleh mendahului atau mengikuti kata adjektif. Contoh: amat, sangat dan sungguh.

Hanya satu kata penguat boleh digunakan di hadapan atau di belakang sesuatu kata adjektif. Contoh penggunaan kata penguat dalam ayat adalah seperti yang berikut:
i. Dalam kalangan adik-beradiknya, dia yang paling rajin (bukan paling rajin sekali).
ii. Harga kereta itu mahal sangat atau harga kereta itu sangat mahal (bukan sangat mahal sekali/ terlalu mahal sangat).
iii. Cantik sekali kasut yang dibelinya itu (bukan terlalu cantik sekali baju yang dibelinya itu).
iv. Saya mendapat markah tertinggi dalam kelas (bukan tertinggi sekali/ paling tertinggi).

Jumaat, 17 Oktober 2008

Antara 'agung' dan 'agong'

Mengikut hukum keselarasan vokal dalam bahasa Melayu, vokal `a’ akan berpasangan dengan vokal `u’ (a-u). Oleh itu, kata ini sepatutnya dieja `agung’, contohnya mesyuarat agung, seniman agung, pemimpin agung dan perhimpunan agung, tetapi ada kekecualian hanya untuk Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan vokal `o’ untuk kata agong.