Sabtu, 12 April 2008

Kata Majmuk

KATA MAJMUK

1. Kata majmuk terbentuk hasil gabungan dua atau lebih kata dasar.

2. Perlu dimaklumkankan bahawa gabungan dua kata atau lebih jika boleh disisipkan kata lain
antara gandingan perkataan itu tidak dikira sebagai majmuk tetapi akan menjadi frasa.
Contohnya:
i. Muda mudi boleh menjadi muda dan mudi
ii. Hitam legam boleh menjadi hitam lagi legam
iii. Hujan lebat boleh menjadi hujan yang lebat

3. Pada umumnya, kata majmuk dieja terpisah kecuali yang sudah mantap sebagai satu
perkataan. Antara kata majmuk yang sudah mantap ialah antarabangsa, bumiputera,
olahraga, sukarela dan kakitangan.

4. Jenis kata majmuk.
a. Kata majmuk umum.

i. Kata majmuk biasa
Alat tulis, adat istiadat, kereta api, lapangan terbang, nasi lemak, tengah hari

ii. Kata majmuk gelaran
Ketua Pembangkang, Guru Besar, Timbalan Menteri, Peguam Negara

b. Kata Majmuk Istilah Khusus
Kata gandingan untuk istilah-istilah yang khusus dalam pelbagai bidang. Kata
yang dipilih untuk digandingkan sama ada daripada kata-kata umum atau istilah khusus.
Contohnya;
Telefon mudah alih, teknologi maklumat, kertas kerja

c. Kata Majmuk Kiasan
Kata majmuk jenis ini mempunyai maksud selain daripada maksud harfiahnya (tersurat).
Contohnya;
Kaki ayam, tebal muka, ringan tulang, makan suap

Hukum D-M

HUKUM D-M

Hukum D-M bermaksud hukum tentang cara kata-kata disusun supaya dapat membentuk frasa nama yang lengkap dan sempurna.

‘D’ yang dimaksudkan ialah unsur yang diterangkan.
Manakala ‘M’ pula bermaksud unsur yang menerangkan subjek.

Dalam penulisan, gaya bahasa Melayu baku mengutamakan subjek. Kemudian diikuti oleh penerangan tentang subjek berkenaan.

Contoh:

pos pejabat (salah)
pejabat pos (betul)

api kereta (salah)
kereta api (betul)

Amin Kedai Runcit (salah)
Kedai Runcit Amin (betul)